.: Bicara Ramadhan :.
بسم الله الرحمن الرحيم

ِِ
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas keizinannya, kita masih dipertemukan dengan penghulu segala bulan ini, Ramadhan Al-Mubarak. Marilah kita memperbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan kita yang tercinta, Rasulullah SAW dan para sahabat baginda serta seluruh ahli keluarga baginda.

Saya memohon maaf atas kesepian blog ini yang agak lama. Ramai teman-teman mula bertanya, "bila nak update blog ni? dah bersawang nampak". Aduh,ayat yang penuh makna ni. Saya terfikir sejenak, nak bagi alasan apa ni? Nak kata sibuk tu, ish.. orang lain lagi sibuk, sempat ja nak update. Akhirnya, saya menjawab, entahlah, malas kot. Simple kan jawapan ni, tapi cukup-cukup memalukan buat seorang insan yang sering mengaku diri sebagai pejuang Islam.

Ini dah cukup untuk membuktikan diri ini kurang bijak dalam mengatur masa dan urusan kehidupan ini. As-syahid Imam Hassan Al-Banna pun dah berpesan Al-waajibat aktharu min Al-awqaat. Jadinya, memang kita tidak boleh lari dari menjadi seorang yang pandai menyusun masa. Kadang-kadang terfikir juga, macam mana la nak bahagi masa ni? Jadual dah buat tapi memang tak berkesan langsung buat diriku ini. Reminder dalam handset pun tak jadi jugak. Akhirnya. dua tiga menjak ini saya dilanda kebisingan dalaman (internal noise). Inilah yang berlaku kepada diri saya.

Suka untuk saya refresh kembali sedikit ilmu yang saya perolehi dalam mata pelajaran Pembinaan Syakhsiah semasa di Nilam Puri dulu. Internal Noise ini satu jenis situasi yang akan dihadapi oleh mana-mana individu bila mana dia menghadapi masalah dalam menguruskan pemikiran dia, tapi tak sampai tahap hilang kewarasan la. Bila mana kita menghadapi masalah ini, otak kita akan bercelaru kerana terlalu memikirkan perkara tersebut sehingga ianya menjadi suatu yang dominan dalam pemikiran kita.

Inilah yang saya hadapi, saya tidak pasti adakah perkara ini turut berlaku kepada teman-teman yang lain. Apabila terlalu banyak perkara yang difikirkan,sehingga satu saat terasa bagai semua ini terlalu membebankan, saya hanya insan biasa, tidak mustahil segala perasaan ini melanda jiwa dan diri ini. Kita sering melaungkan kalimah "rela ditarbiyyah", namun saat tarbiyyah itu mula berbicara dengan kita, hati ini terlalu rapuh dan ampuh untuk menghadapinya.

Saya pernah berkata kepada seorang sahabat, penat menjadi insan yang menerima tarbiyyah ini, segala benda kita terpaksa mujahadah. Kadang-kadang terdetik juga, kosongnya jiwa ini, tak ada tarbiyyah. Lepas tu, mula la merungut, pimpinan tak mementingkan tarbiyyah dan macam-macam lagi lah. Saya yakin, kita semua mengetahui bahawa ini semua sifat-sifat yang tidak patut ada pada seorang ahli gerakan Islamkan? Saya pasti ada juga dalam kalangan kita yang pernah terfikir beginikan?

Sehinggalah,baru-baru ini, saya telah menemui jawapan kepada segala persoalan yang terlalu mendominasi minda dan fikiran saya ini. Segalanya bermula dari hati. Kenapa kita dipilih untuk ditarbiyyah? Kenapa kita perlu melalui proses-proses ini? Jawapannya mudah saja. Kerana ALLAH SWT telah memilih kita. Bahkan,seorang ustaz pernah berpesan kepada saya dan teman-teman, sesekali kita perlu bertanya kepada diri sendiri, "sebenarnya Allah nak aku jadi macam mana?" dan jawapannya hanya kita yang mampu menjawabnya kerana hanya kita dan Allah yang tahu sejauh mana kemampuan kita dan peribadi kita.

Satu pesanan dari seorang morabbi yang ana kagumi perwatakannya,beliau pernah berpesan, cukuplah kita meletakkan Allah itu yang pertama dan utama dalam kehidupan ini. Biarlah sesibuk mana pun kita bergerak kerja dan belajar tetapi ingat, tugas utama kita adalah sebagai seorang hamba. Andai sejauh bintang di langitpun kedudukanmu di dunia, tetapi kau tetap hamba abdi ALLAH. Jadilah pejuang berjiwa hamba. Tersentak hati kecil saya, mungkin inilah yang dicari selama ini. Tarbiyyah itu adalah kehidupan, bagaimana kita mencorakkan kehidupan seharian, itulah yang dinamakan tarbiyyah.Life is The Real of Tarbiyyah.

Sekadar perkongsian bersama, kita sering kali merungut tak sempat, tak cukup masa,masa cepat sangat...sebenarnya,semua ini kembali kepada kita. Pernahkah kita terfikir, berapa banyakkah masa yang kita luangkan untuk Sang Pencipta yang Maha Agung? Adakah segala gerak kerja kita selama ini benar-benar berpaksikan Allah & RasulNya? Kita sering berbicara bab aulawiyat antara meeting dan program,antara assigment dan usrah, tapi pernahkah kita terfikir untuk mengaulawiyatkan antara baca Al-Quran dan assigment? Semua ini hanya mampu dijawab oleh iman kita.

Last but not least, saya harap dengan sedikit perkongsian di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini dapatlah sama-sama kita memuhasabahkan diri kita kembali. Sejauh mana taqarrub kita dengan ALLAH SWT? Sebanyak mana ingatan kita buat Kekasih yang agung SAW? Justeru, saya menyeru kepada semua rakan-rakan dan teman-teman untuk sama-sama kita menjadikan Ramadhan ini sebagai Madrasah Tarbiyyah yang mana daiipadanya bisa lahir insan-insan yang mampu membina generasi muttaqin di masa hadapan. Ya Allah, Engkau tetapkanlah kami dalam perjuangan agamaMU ini. Ameen... Wallahu'alam.


Salam Ramadhan Kareem



0 Responses

Post a Comment